Thursday, 10 November 2011

Sahabat Hati *


Ini bukan satu kebetulan, malah satu perjalanan yang sudah tertulis di takdir-NYA.. bahawasanya engkau akan hadir dalam satu keadaan dimana aku menyedarinya , dan seterusnya akan menjadi sahabat pada hati ku yang sering terluka. Kewujudan ku mungkin tidak kau sedari, dan apa yang telah terkesan pada ku dari perbuatan baik mu itu juga kau tak sedari, dan kerana ianya terkesan di hati ku maka kau mendapat gelaran ‘sahabat hati’.
Seperti yang sudah tertulis aku sering dilanda peristiwa-peristiwa dimana menyakitkan hati nurani ku. Dan seperti yang telah aku renungi dan nilaikan.. kata berhikmah yang kau sebarkan membantu hati ini untuk lebih tenang dan sabar dalam  melalui semua itu.
Lantas tergerak hati ini untuk lebih mengenali mu, dan ternyata gerak hati itu membawa kebaikan kepada ku, ku dalami dan fikirkan setiap kata yang tertulis yang kau hadirkan, menggerakkan hati untuk mengikuti jejak langkah mu.. lalu.. aku buka semula kitab suci yang telah lama aku biarkan tersimpan.. dan buku-buku agama yang telah usang yang selama ini ku lihat sekadar endah tak endah.
Ku baca dan fahami setiap bait ayat.. ternyata banyak perkara yang masih tidak aku ketahui.. sebak hati menyesali, banyak masa ku yang telah terbuang, hanya kerana ingin mengejar kejayaan dunia semata, demi untuk mengeluarkan diri ini dari kesukaran hidup yang tiada henti.. dan selama ini aku merasakan hidup ini tidak adil pada ku.
 kenapa mesti aku? Kenapa aku saja yang sentiasa merasakan susahnya hidup ini? Kenapa tekanan hidup sentiasa bersama ku? Kenapa hidup mereka begitu mudah tetapi tidak aku? Inilah soalan-soalan yang sering ku debatkan dalam hati. Tanpa aku sedari hikmah-hikmah yang tersembunyi. Dan DIA menghadirkan mu untuk menyuluh hikmah-hikmah itu agar aku dapat melihatnya.
Kini hati ini tiada henti mengucapkan syukur, malah jikalau ada ayat yang lebih baik dari itu akan aku ucapkan setiap kali. Syukur kerana kesusahan yang ku hadapi ini telah mendekatkan aku dengan-NYA.  Ku singkap segala yang telah kuhadapi, dan ternyata ada hikmah di setiapnya, Cuma aku yang tidak menyedarinya kerana asyik melayan kesedihan dan kesusahan ku. Pada mulanya aku kirakan DIA tidak mendengarkan setiap doa ku.
Tapi kini aku dapat merasakan betapa sebenarnya aku beruntung, kerana DIA ingin menjadikan aku seorang hamba yang tabah dengan menguji ku dengan pelbagai ujian, DIA menyayangi ku kerana DIA telah menghalangi segala kebahagiaan yang cuba ku kecapi yang ku anggap bakal membahagiakan ku tapi pada hakikatnya hanya akan membawa kehancuran yang lebih teruk pada ku. Aku sedih dan kecewa dengan halangan itu, tapi akhirnya membawa kepada rasa kesyukuran tatkala cahaya hikmah terpancar di sebalik kegelapan itu.
Dengan menghantarkan mu ‘sahabat hati’ , DIA tunjukkan segala hikmah yang tersembunyi  .. wahai sahabat hati, kau mungkin tidak menyedari semua ini, malah mungkin tidak menyedari adanya aku menghargai mu. Tapi itu tak mengapa kerana penghargaan dari ku tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan penghargaan dari DIA yang Maha Penyayang, akan ku luahkan segalanya pada DIA, dan biarlah DIA yang menguruskan yang selebihnya, semoga damai hati ini dengan ketentuan-NYA.






Untuk sahabat hati  yang di ingati
semoga dilapangkan dada dan dirahmati

Mungkin kerana kau kongsikan ilmu itu dengan keikhlasan hati
Ianya berjaya menyentuh dan membuka hati
Ku ucapkan syukur pada ILAHI
Dan melalui-NYA juga ku titip ucapan terima kasih buatmu seikhlas hati *

No comments:

Post a Comment