Showing posts with label Tafsir Al-Qur'an. Show all posts
Showing posts with label Tafsir Al-Qur'an. Show all posts

Sunday, 20 November 2011

Amarah*


"Amarah adalah serangan kegilaan, kerana orang yang terkena serangan itu akan merasa penyesalan yang mendalam di kemudiannya, sesiapa yang tidak merasa menyesal selepas amarah, ia bermaksud dia sudah sememangnya gila” [Saidina Ali r.a]
Amarah juga akan menyebabkan tekanan darah meningkat

Selain daripada itu, amarah juga mendorong manusia kedalam penghinaan, penaklukan dan ketidakupayaan  untuk mempertahankan hak dirinya. Bagi merawat penyakit amarah itu, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan membuang segala sikap yang menyebabkan timbulnya amarah itu sendiri seperti :
1.       Sikap suka membangga diri
2.       Sikap pentingkan diri sendiri.
3.      Sikap degil dan sukar bertolak ansur
4.      Sikap tamak.
5.      Suka merendahkan orang lain.
Seseorang itu juga harus memahami akan akibat yang boleh berlaku disebab oleh amarah. Langkah seterusnya adalah dengan menilai kebaikan yang boleh diperolehi apabila menahan amarah , dan cara yang terbaik adalah dengan menghayati kewujudan ALLAH yang maha berkuasa, Kekuasaan-Nya mengatasi segala kekuasaan, dengan cara ini ia akan mengingatkan kita pada kelemahan diri.
Semailah sikap yang positif seperti
1.       Sabar.
2.       Memaafkan.
3.      Sentiasa menyedari kelemahan diri.
4.      Pemurah.
5.      Bersyukur.
Sabda Rasulullah saw: “Memberi kemaafan meninggikan darjat seseorang; berilah kemaafan agar ALLAH SWT merahmati mu”
Firman ALLAH SWT : “jadilah pemaaf dan sauruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”. [Al-A’raf: 199]
Sesungguhnya kita adalah manusia yang lemah, dan apabila kita diserang perasaan marah istighfarlah sebanyak-banyaknya, dan berusahalah untuk bersabar, kerana ia lebih memberi manfaat pada kita seperti firman-NYA.
“Bersabarlah, kerana sesungguhnya ALLAH tidak menyia-yiakan pahala orang yang berbuat kebaikan” [Hud:115]

Sunday, 18 September 2011

** Cinta Untuk ALLAH SWT **

Firman ALLAH SWT : “.. adapun orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah..” 
 (Al Baqarah 2:165)

Mengikut pengajaran Islam, tanda-tanda orang beriman itu adalah dengan meletakkan ALLAH di tempat teratas dalam hatinya dan mencintai ALLAH lebih dari segala cinta yang ada.

Firman ALLAH SWT : “katakanlah, jika bapa-bapa mu, anak-anak mu, saudara-saudara mu, isteri-isteri mu, keluarga mu harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada ALLAH SWT dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai ALLAH memberikan keputusan-Nya”. Dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” (At-Taubah, 9:24)

Ayat ini jelas menerangkan bahawa cinta untuk ALLAH mestilah melebihi cinta untuk yang lain. Ia menerangkan bila terjadinya konflik antara cinta ALLAH dan cinta lain, seseorang yang beriman itu mesti sanggup untuk mengorbankan cintanya yang lain demi cinta nya pada ALLAH dan agama-Nya

Firman ALLAH SWT: “ ALLAH tidak menjadikan bagi seseorang dua hati dalam rongganya….” (Al-Azhab, 33:4)

Seseorang yang mencintai ALLAH SWT secara langsung akan mencintai makhluk-makhluk ciptaannya, tetapi tidak wajar bagi sesorang itu mencintai mahluk-mahkluk yang di ciptakan-Nya melebihi cintanya pada Pencipta makhluk-makhluk tersebut. Maka cintailah sesuatu itu kerana ALLAH, kerana tanpa belas kasihan dari ALLAH SWT tidak mungkin kita ini sebagai hamba-Nya mendapatkan apa yang kita miliki saat ini.

Manusia mempunyai keperluan fizikal dalam kehidupan, yang mana mereka akan berusaha untuk mencapainya, dan Setiap manusia yang normal mempunyai keinginan untuk mencari cinta dalam apa jua bentuk tetapi cinta pada sesuatu objek tidak memiliki kesempurnaan dan tidak mampu untuk kekal abadi sekiranya tidak berlandaskan cintanya pada ALLAH SWT. Semua manusia menginginkan cinta yang sempurna dan kesempurnaan cinta itu hanyalah cinta pada ALLAH SWT.

Dan jika hendak dibandingkan dengan cinta manusia pada ALLAH SWT dengan cinta ALLAH SWT pada manusia iaitu hamba-hamba-Nya maka amat jauh sekali perbedaannya.. cinta ALLAH pada hambanya adalah amat besar dan tidak terhitung sama sekali, jika tidak kenapa Dia masih mahu mengampunkan dan memberikan peluang kepada hamba-hamba-Nya yang telah mengingkari-Nya sedang kan Dia Maha berkuasa dan boleh melakukan apa saja .

Sabda Rasulullah saw: “ALLAH SWT adalah Maha Pengasih dan Penyayang melebihi kasih ibu pada anaknya”.

Firman ALLAH SWT:

‘kebajikan apa pun yang kamu peroleh, adalah dari sisi ALLAH, dan keburukkan apa pun yang menimpa mu, itu adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri..” (An-Nisa, 4:79)

“…Dia mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya …” (Al-Ma’idah. 5:54) 



Anda mahu dicintai ALLAH SWT? Marilah bersama-sama menyemai kualiti-kualiti diri seperti dibawah ini;

ALLAH mencintai Muhsineen (hamba-Nya yang suka berbuat baik) [2:195, 3:134, 3:148, 5:13, 5:93]

ALLAH mencintai Tawwabeen (hamba-Nya yang bertaubat) [2:222]

ALLAH mencintai Mutahhareen (hamba-Nya yang menyucikan diri) [2:222, 9:108]

ALLAH mencinta Muttaqeen ( hamba-Nya yang bertakwa) [3:76, 9:4, 9:7]

ALLAH mencintai Sabireen ( hamba-Nya yang bersabar) [3:146]

ALLAH mencintai Mutawakkileen ( hamba-Nya yang bertawakal) [3:159]

ALLAH mencintai Muqsiteen ( hamba-Nya yang berlaku adil dan saksama) [5:42, 49:9, 60:8]



Dan cintailah Rasul-Nya Muhammad saw.. 
 
Firman ALLAH : “Katakanlah (Muhammad) ‘jika kamu mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mencintai mu dan mengampuni dosa-dosa mu’, ALLAH Maha Pengampun , Maha Penyayang”. (Al-Imran, 3:31)



** Ya ALLAH kurniakanlah kami cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu dan juga semua perkara yang menjuruskan kami kepada kecintaan-Mu.. aamiiin.. **

Thursday, 11 August 2011

Fadhilat surah Al - Waqi'ah



Bismillahirrahmaanirrahiim..
Ibnu Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesiapa yang membaca surah Al - Waqi'ah pada setiap malam, ia tidak ditimpa kemiskinan" [ Dikemukakan oleh Abu Ya'la dan Ibnu Asakir].


Intisari Surah Al-Waqi'ah
Surah Al-Waqi'ah adalah surat ke-56 dalam Al-Qur'an [kitab suci agama Islam]. Surah ini terdiri atas 96 ayat dan termasuk dalam golongan-golongan surah Makkiyah. Surah yang diturunkan sesudah surat Taahaa ini dinamakan dengan Al-Waqi'ah [hari kiamat], diambil dari perkataan Al-Waqi'ah yang terdapat pada ayat pertama.


Intisari kandungan

  • Bagi menolak anggapan kaum kafir musyrik yang meragukan hari akhirat, ALLAH Ta'ala bentangkan berbagai dalil yang membuktikan bahawa hari kiamat tetap berlaku dan berlakunya hari itu ialah semasa dunia ini dan segala isinya dihancurkan dan digantikan dengan alam yang baharu alam akhirat. Pada saat itulah manusia akan terbahagi kepada 3 puak yang berlainan keadaannya:
  • Pertama: Puak pihak kanan, yang sungguh berbahagia kerana mendapat sebaik-baik balasan. Iaitu orang-orang yang bakal ditunjukkan buku amalan nya dari sebelah kanan.
  • Kedua: Puak pihak kiri, yang akan menderita azab seksa yang tidak terperi.Iaitu orang-orang yang akan ditunjukkan buku amalannya dari sebelah kiri.
  • Ketiga: Puak yang telah mendahului dalam mengerjakan kebaikan di dunia, dan kerana itu mereka akan mendahului mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak. mereka akan mendapat kedudukan yang istimewa di sisi ALLAH SWT. Iaitu golongan Muqarrabin, orang-orang yang paling terdahulu sekali beriman kepada ALLAH seperti nabi-nabi dahulu serta nabi Muhammad s.a.w serta keluarga dan sahabat-sahabatnya yang mula-mula sekali beriman kepadanya.


* Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa agar kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sebelah kanan dan ditunjukkan buku amalan dari sebelah kanan. Aamiiin..


Dari Abdullah bin Amr r.a, Rasulullah s.a.w bersabda;
"sampaikanlah pesan ku walaupun satu ayat"

Sunday, 31 July 2011

Surah Al-Kursi dan Kelebihannya




Terjemahan dan maksud:

Bismillaahir rahmaanir rahiim..

ALLAAHU LAAILAAHA ILLAA HUWAL HAIYUL QAIYUUM
LAATA' KHUZUHUU SINATUW WALAA NAUUM
LAHUU MAAFIS-SAMAAWAATI WAMAA FIL ARD
MAN ZALLAZI YASYFA'U 'INDAHUU ILLA BI-IZNIH
YA' LAMU MAABAINA AIDIHIM WAMAA KHALFAHUM WALAA YUHITUUNA BISYAIIM-MIN 'ILMIHI ILLAA BIMAAA SYAA' WASI'A KURSIY YUHUS-SAMAAWAATI WAL ARDHA WALAA YA 'UUDUHUU HIFDZUHUMAA WAHUWAL 'ALIY YUL ADZIM.

Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian mahkluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur Yang Memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada siapa yang dapat memberikan syafaat (pertolongan) disisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada dihadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatupun dari (kandungan) ilmu ALLAH, melainkan apa yang ALLAH kehendaki (memberitahu kepadanya) . Luasnya Kursi ALLAH (ilmu dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi, dan tiadalah menjadi keberatan kepada ALLAH menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya) lagi Maha Besar (Kekuasaan-Nya).


Kelebihan ayat al-Kursi mengikut hadis:

  1. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring ditempat tidurnya, ALLAH SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya sehingga subuh.
  2. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dalam lindungan ALLAH SWT sehingga sembahyang yang lain.
  3. Barang siapa membaca ayat AL-Kursi di akhir setiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada syurga kecuali maut dan barangsiapa membacanya ketika hendak tidur, ALLAH SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya, dan ahli rumah-rumah sekitarnya.
  4. barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang fardhu, ALLAH SWT menganugerahkannya setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala Nabi- Nabi serta ALLAH melimpahkan rahmat padanya.
  5. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum  keluar rumahnya, maka ALLAH SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya- mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
  6. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang ALLAH SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang berperang bersama Nabi ALLAH sehingga mati syahid.
  7. Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya ALLAH SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dari Abdullah bin Amr r.a Rasulullah SAW bersabda:
" Sampaikanlah pesan ku biarpun satu ayat.."

Friday, 22 July 2011

Kesabaran

Firman ALLAH SWT: " Wahai orang-orang yang beriman mohonlah pertolongan (kepada ALLAH) dengan sabar dan Sholat. Sungguh ALLAH berserta dengan orang yang sabar".

Surah Al-Baqarah ayat: 152

Firman ALLAH SWT: " Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang bila ditimpa musibah, mereka berkata " inna lillahi wa inna ilaihi rajiun" (sesungguhnya kami milik ALLAH dan kepada-Nya lah kami dikembalikan) mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah yang mendapat petunjuk" 

Surah Al-Baqarah ayat: 155-157

ALLAH


Friday, 6 May 2011

Benih Yang Menerbitkan 700 Buah


Ayat-ayat al-Quran, ayat 261 hingga 265 surah al-Baqarah, mengenai ganjaran yang sangat besar dari ALLAH SWT untuk orang yang bersedekah dan berbelanja di jalan ALLAH, maksudnya seperti berikut:

Perumpamaan orang yang membelanjakan hartabenda mereka pada jalan ALLAH, adalah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, yang tiap-tiap tangkai itu mengandungi seratus biji. Dan ALLAH akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA, dan ALLAH adalah Maha Luas lagi Maha Mengetahui. (261)

Orang-orang yang membelanjakan harta benda mereka ke jalan ALLAH kemudian mereka mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit-ungkit dan tidak pula menyakiti, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada ketakutan atas mereka, dan tidak akan berduka. (262)

Kata-kata makruf dan memaafkan adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan menyakiti, dan ALLAH adalah Maha Kaya lagi Amat Penyabar. (263)



Wahai orang -orang beriman! jangan rosakkan sedekah kamu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti, seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan dia tidak beriman kepada ALLAH dan hari akhirat. Perumpamaan orang ini laksana batu licin yang diatasnya ada tanah kemudian di timpa hujan lebat lalu jadilah ia bersih licin. mereka tidak berdaya sesuatu pun atas apa yang mereka usahakan, dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada kaum kafir. (264)

Dan perumpamaan orang yang membelanjakan hartabenda mereka kerana mengharapkan keredhaan ALLAH dan untuk meneguhkan jiwa mereka, adalah laksana sebuah kebun di tempat tinggi yang ditimpa hujan lebat lalu mengeluarkan hasil dua kali ganda. Kalau ia tidak di timpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun memadai. Dan ALLAH sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. (265)