Thursday 18 August 2011

BURUK SANGKA




Sangkaan terbahagi kepada dua iaitu sangka buruk (suu’ adzdzan) dan sangka baik (husni adzdzan).  Firman ALLAH yang bermaksud ;
“sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan-tuduhan itu, orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan,  menaruh baik sangka kepada diri mereka sendiri…
[Surah An-Nur ayat 12]
Melalui ayat Al-Qur’an ini jelaslah bahawa sangkaan buruk dilarang dan sangkaan baik adalah digalakkan. Apabila mendengar perkhabaran buruk tentang seseorang kita seharusnya tidak terburu-buru mempercayai perkhabaran itu apatah lagi kita sendiri tidak tahu kebenarannya, bersangka baik adalah lebih baik.
Dalam Islam perbuatan buruk sangka adalah dikeji malah orang yang sering berperasangka buruk itu perlu dijauhi dan diawasi gerak gerinya , ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; “berhati-hati dan berwaspada lah kamu terhadap manusia, yang suka menaruh buruk sangka terhadap seseorang”.
Lebih buruk lagi adalah apabila seseorang itu berburuk sangka pada ALLAH. Mengapa harus berburuk sangka pada Zat ALLAH  yang Maha sempurna dan tidak ada cacat celanya. Oleh itu elakkanlah diri dari bersangka buruk dan sentiasalah bersangka baik, jangan hanya melihat sesuatu keadaan dengan terburu-buru terus menyangka yang bukan-bukan,  sebagai contoh melihat seorang lelaki keluar dari rumah seorang perempuan, kita terus menyangka bahawa telah berlaku penzinaan, boleh jadi lelaki itu adalah adik atau abang kandung wanita itu yang datang menziarahinya, atau pun melihat seorang laki-laki dan perempuan berbual-bual dan menuduh mereka yang bukan-bukan , boleh jadi mereka sedang membincangkan tentang pelajaran ataupun hal-hal kerja.
Buruk sangka tanpa usul periksa akan membawa akibat yang buruk dan menyebabkan terjadinya fitnah dan kezaliman yang nyata, seterusnya akan hanya membawa kepada pergaduhan dan permusuhan. Sebaliknya baik sangka akan menanamkan perasaan muhibbah dan kasih sayang sesama insan dan sekali gus mewujudkan sifat terpuji pada seseorang kerana tidak suka memperkatakan tentang keburukkan orang lain.

Rumusan dari sumber bacaan : "Kearah keimanan" oleh Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz



No comments:

Post a Comment