Monday, 9 May 2011
Nasihat Al-Ghazali : Aktiviti Harian
Pertama: Yang terlebih afdal ialah kau habiskan waktu mu dengan mencari ilmu yang bermanfaat, bukan ilmu yang sia-sia yang sangat diminati orang sekarang ini, yang mereka namakannya ilmu bermanfaat (padahal bukan ilmu yang bermanfaat).
Ilmu bermanfaat ialah ilmu yang menambah takut dirimu kepada ALLAH. dan menambah penglihatan mu terhadap 'aib dirimu, dan menambah makrifatmu dalam engkau beribadat kepada Tuhan, dan menyedikitkan kegemaran mu terhadap negeri dunia, dan menambah kegemaran mu terhadap negeri akhirat, dan membukakan pintu hati mu untuk mengenali bermacam-macam penyakit amalanmu sehingga engkau menjauhinya.
Dan ilmu bermanfaat itu ialah ilmu yang menambah pengetahuanmu terhadap tipu helah syaitan dan penipuannya, sehingga kau arif dengan kehalusan penipuan syaitan ketika ia menggoda ulama su' dan berjaya menjadikan mereka sebagai sasaran kemurkaan ALLAH, kerana mereka telah membeli dunia dengan agama dan menjadikan ilmu sebagai alat untuk mengambil harta sultan, memakan harta waqaf, harta anak yatim, harta orang miskin dan harta orang islam. Di sepanjang hari mereka cuma menghabiskan masa untuk mencari pangkat dan kedudukan dihati manusia. Untuk itu mereka sanggup menunjukkan segala kebolehan di hadapan orang ramai dan memperlihatkan kefasihan lidah mereka dalam berbahas dan berbincang..
Apabila engkau telah mencuba mengamalkan wirid-wirid dan ibadat (yang telah kami sebutkan) dan engkau dapati akan dirimu tidak merasakan sebarang keberatan dan tidak merasa malas melaksanakannya bahkan nampak pada dirimu minat yang sangat mendorong engkau mencari lagi ilmu yang bermanfaat, dan engkau tidak mengkehendaki dengan mencari ilmu itu kecuali hanya keredhaan ALLAH dan negeri akhirat, maka menuntut ilmu ketika itu lebih afdal daripada ibadat-ibadat sunat. Dan yang paling penting hendaklah engkau memastikan keikhlasan niatmu (kerana niatlah yang menentukan nilai amalan mu.) Apabila niat mu tidak ikhlas maka sinilah tempat terpedayanya orang-orang jahil dan disini pula tempat tergelincirnya kaki orang-orang yang cerdik pandai.
Kedua: Bahawa engkau tidak berkuasa menghasilkan ilmu yang bermanfaat tetapi engkau kuasa berbuat ibadat seperti berzikir, membaca al-Qur'an, bertasbih dan sembahyang. Maka ini adalah darjat orang yang 'abid dan cara hidup orang soleh. Dengan cara ini juga engkau dapat tergolong di dalam kumpulan orang yang beruntung.
Ketiga; Bahawa engkau membuat sebarang pekerjaan yang dapat memberi kebaikan kepada orang-orang islam dan dapat menggembirakan hati orang-orang yang beriman, atau engkau menolong orang soleh di dalam pekerjaan mereka seperti berkhidmat kepada para ulama dan ahli sufi dan ahli-ahli agama dan berulang-alik dalam menunaikan hajat mereka, atau berusaha untuk memberikan makanan kepada fakir miskin atau menziarahi orang sakit, atau menghantar jenazah, maka semua ini adalah lebih afdal daripada semata-mata ibadat sunat saja, kerana amalan yang seperti ini selain sebagai satu ibadat ia juga merupakan pertolongan kepada orang lain.
Keempat: Jikalau engkau tidak dapat membuat salah satu daripada tiga perkara yang tersebut tadi maka berusahalah untuk menunaikan hajatmu sendiri mencari nafkah bagi dirimu dan keluargamu, sedangkan orang ramai selamat daripada sebarang gangguanmu, dan mereka juga selamat daripada bahaya lidah dan tanganmu. Dan agamamu pula selamat, iaitu apabila engkau tidak terlibat dengan sebarang kemaksiatan. Maka dengan itu engkau akan mendapat darjat Ashabul Yamin, sekiranya engkau tidak mencapai darjat As-Sabiqin.
sumber: Al-Ghazali, Bidayatul Hidayah (Terj. Abu Ali Al-banjari An Nadwi)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment