Friday, 13 January 2012

Kisah Anak Derhaka bersama Ibunya


Pada suatu hari seorang wali ALLAH yang bernama Zin Nun Al Mashri r.a sedang berjalan-jalan di sebuah pasar untuk mencari sesuatu, tiba-tiba dia melihat satu jenazah yang dipikul oleh empat orang lelaki sedangkan tiada sesiapa lagi yang ikut menghantar jenazah tadi ke kubur.

Tanpa membuang masa Zin Nun segera mengikuti kumpulan tadi untuk menjadi pengiring bagi jenazah tadi. Apabila sampai ke kubur dia bertanya kepada orang-orang tadi manakah ahli keluarga jenazah ini?. Tetapi mereka juga tidak mengetahuinya kerana mereka itu cumalah orang yang diupah untuk menguburkan jenazah itu saja.

Zin Nun tidak berpuas hati, selepas menyembahyangkan dan menguburkan jenazah tadi lagi sekali beliau bertanya kepada orang-orang tadi maka salah seorang dari mereka pun berkata: 
 
sebenarnya kami tidak tahu menahu apa pun tentang mayat ini. Kami ini pekerja-pekerja buruh. Tadi ada seorang wanita mengupah kami untuk mengangkat mayat ini dan untuk menguburkannya. Dan kini kami sudah kerjakan tugas kami dan sekarang kami hendak pulang. Cuma dia kata, nanti dia akan datang melihat jika kami sudah siap menyempurnakannya.” 
 
Setelah mengucap begitu keempat-empat orang tadi pun meninggalkan tanah perkuburan. Zin Nun duduk bersembunyi berhampiran dengan kubur itu. Memang benar tidak lama kemudian datanglah seorang wanita yang berwajah cerah menunjukkan dia seorang yang solehah.

Setelah berdiri di atas kuburan itu dia lalu membuka tutup mukanya, mengangkat kerudungnya serta membiarkan rambutnya terurai. Kemudian mengangkat kedua tangannya ke atas seraya memohon kepada ALLAH, adakalanya dengan menangis dan pada lainnya pula dengan menyeru-nyeru. Tiada henti-henti dia melakukannya begitu sehingga dia benar-benar lelah, lalu dia tersungkur jatuh di atas kuburan itu, pengsan tidak sedarkan diri.

Kemudian tidak lama selepas itu dia tersedar dari pengsannya dan bangun berdiri dengan wajah gembira. Dia ketawa begitu riang sekali. Zin Nun tidak sabar bersembunyi lama-lama di situ lalu keluar menampakkan dirinya. Wanita itu terkejut kerana ada orang lain dari dirinya di situ. Mukanya berubah lalu bertanya:

Engkau siapa?”

Aku Zin Nun Al Mashri.”

Zin Nun , orang soleh yangterkenal itu?”

Benar.” Jawab Zin Nun. 
 
Kalau lah kau bukan dari kumpulan orang soleh itu tentu aku tidak akan beritahumu tentang mayat ini.” Katanya.

Wanita itu lalu bercerita:

Hai saudara Zin Nun mayat ini adalah mayat anakku yang amat aku sayangi. Akan tetapi dia seorang anak yang lalai, tidak mahu mendengar nasihat. Segala pakaian yang baik-baik, mahal-mahal semuanya sudah dipakainya. Tiada suatu maksiat pun melainkan dia sudah melakukannya. Pendek kata anakku ini sudah melanggar perintah-perintah Tuhannya dengan mengerjakan semua yang dilarang-Nya.

Semenjak tiga hari yang lalu dia terkena penyakit yang sangat berat ditanggungnya sehingga jelas keadaannya tiada harapan untuk hidup lagi. Kemudian dia memanggil-manggil aku.

Ibu! Ibu!

Aku segera mendapatkannya, bagaimanapun bencinya aku kepada dia kerana perangainya yang jahat namun sifat keibuan tetap hidup dihatiku. ‘Atas Nama ALLAH.’ Katanya kepada ku dengan menarik nafas yang panjang , ‘ hendaklah ibu berjanji untuk melaksanakan wasiat ku’

wasiat apa! Kataku menangis. “jangan merepek kau belum hendak mati!’ kata ku.

Tidak ibu! Ajal ku sudah hampir sampai’. Katanya.

Aku menangis dengan lebih kuat tetapi dia melarangku menangis tetapi mendengar dengan teliti wasiatnya itu.

Apa dia? Tanya ku.

dengar baik-baik! Sekiranya aku mati, jangan beritahu orang akan kematian ku, kerana mereka tiada akan mendoakan bagiku, lantaran terlalu berat sekali dosa-dosa ku, dan aku juga telah membuat kelakuan-kelakuan yang buruk! Kemudian ibu miringkan sebelah pipiku ke tanah, kemudian injak-injaklah wajah ku sambil berkata inilah balasan orang yang menderhaka kepada Tuhannya yang meninggalkan perintah-Nya serta menurutkan hawa nafsu! Kemudian setelah jasadku dikuburkan berdirilah diatas kuburku serta mengangkat tangan ke langit sambil berkata:

Ya ALLAH! Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku redha terhadap anak ku ini maka redhakanlah dia!

itulah sebabnya aku datang ke sini kerana hendak menunaikan pesanannya. Semua itu telah ku perbuat!” kata wanita itu 
 
Baiklah, sesudah engkau bangun dari pengsan mu tadi mengapa pula engkau ketawa?” Tanya Zin Nun lagi.

Yang menyebabkan aku ketawa tadi adalah kerana aku mendengar suara dari langit , suaranya jelas dan fasih sekali; kembalilah wahai ibu, aku telah menemui Tuhan Yang Maha Pemurah. Dia redha kepadaku tidak marah! Sebab itulah aku ketawa dan gembira sekali.”

Suara siapa yang engkau dengar tadi?” Tanya Zin Nun meminta kepastian. 

Suara siapa lagi jika bukan suara anakku!”

Zin Nun berangkat kembali ke pasar dan di dalam hatinya berkata-kata: Alangkah besarnya rahmat ALLAH terhadap hamba-hamba-Nya sekalipun yang berdosa, dan benar-benar memohon keampunan dari-Nya.

Dan betapa kuatnya keazaman ibu itu untuk melepaskan anaknya dari belenggu dosa. Sayang Ibu Sayang Sejati… *(^__^)

Subhanallah Walhamdulillah




Friday, 6 January 2012

SIAPA TUHAN ku ??


SIAPA TUHAN KU?

Tuhan ku adalah Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi, yang telah menciptakan planet-planet, bintang, matahari dan bulan.

Tuhanku adalah Tuhan yang telah menciptakan lautan yang masin dan luas terbentang, yang menciptakan mata air yang menjadi punca air sungai yang tawar dan jernih.

Tuhan ku adalah Tuhan yang telah menciptakan batuan yang keras, butiran pasir yang halus, tanah yang pelbagai warna dan tingkat ketumpatan.


Tuhan ku adalah Tuhan yang telah menciptakan gunung ganang yang gagah dan ada diantaranya mengeluarkan lava yang panas. Bukit bukau yang mengelilingi lembah-lembah yang subur.

Tuhanku adalah Tuhan yang telah menciptakan air hujan yang jernih, salji yang putih, dan angin yang bertiup damai.

Tuhan ku adalah Tuhan yang telah menciptakan segala hidupan di dasar lautan, di permukaan bumi ,udara dan angkasa, yang kelihatan dan yang ghaib. 

  Tuhan ku adalah Tuhan yang telah menciptakan manusia dari pelbagai warna kulit, rambut dan mata dan saiz badan. Dari pelbagai saiz dan bangsa dan pertuturan.

Tuhan ku adalah Tuhan yang telah menciptakan segala jenis tumbuhan yang antaranya menjadi sumber makanan, ubatan dan bahan-bahan mentah yang boleh diproses dan menjadi kegunaan seharian.

Tuhan ku adalah Tuhan yang telah menciptakan segala bahan-bahan galian yang berguna kepada manusia dan seluruh hidupan.

Tuhan ku adalah Tuhan yang memberikan anggota tubuh badan kepada ku agar aku dapat mengusahakan dan memelihara segala kurniaan-Nya dan yang memberikan aku akal dan fikiran agar dapat aku menggunakannya bagi menghayati kebesaran dan kebenaran-Nya lalu mensyukuri segala kurniaan-Nya dan menginsafi kekerdilan diri.

Laa illaha illallah”..Ternyata Tuhan ku adalah Tuhan yang satu yang Maha Sempurna dan memiliki segala Kelebihan dan Kekuasaan. 

Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana aku lahir sebagai seorang muslim dan dengan rahmat Tuhan ku aku masih mampu menyedari semua ini. Semoga tahun 2012 yang baru bermula ini akan membawa semangat baru bagi ku untuk menjadi bertambah baik dari sebelumnya. Dan cukuplah Tuhan ku tempat aku meminta pertolongan dan perlindungan.