Showing posts with label Info sejarah / history. Show all posts
Showing posts with label Info sejarah / history. Show all posts

Sunday, 5 February 2012

Nabi Yang Selalu Tiada Makan

Anda tentu pernah membaca cerita Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam yang dikisahkan selalu mengalami lapar, perut kosong kerana tidak makan, hingga ada waktunya terpaksa perutnya diikat dengan batu. Sukar hendak kita bayangkan bagaimana perut kosong yang perlu di bantu supaya tidak terasa terlalu pedih kelaparan, dengan mengikat ketul-ketul batu pada perut itu. 
 
Antaranya digambarkan sewaktu membuat persiapan Perang al-Azhab, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam turut bersama-sama dengan para sahabat, memerah keringat menggali parit untuk benteng pertahanan. “Baginda turut memunggah tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasai sakit, terasa pedih hingga ke pangkal hati”.“ Untuk mengurangkan kepedihan akibat rasa lapar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil beberapa ketul baru, kemudian dibalut dengan kain dan mengikat ketat pada perutnya. Baginda berbuat begitu selain untuk mengurangkan rasa lapar, juga untuk mengelakkan daripada kecederaan akibat berkerja berat dalam keadaan perut kosong”.[ Dalam buku Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam , Insan Teladan Sepanjang Zaman karya Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat,2008 Anbakri Publika]

Terdapat pula cerita yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Tabrani, bahawa pada suatu hari Fatimah r.a memberikan sekeping roti kepada ayahnya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi mengambil dan berkata; “Ini adalah makanan pertama yang dimakan ayah mu sejak 3 hari lalu”. [Dalam buku ‘Meraih Ampunan ALLAH’ karangan Jamilah al-Mashri, Jakarta 2004]

Bayangkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam 3 hari tak makan! Kemudian Abu Hurairah berkata, “Aku menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda sedang solat sambil duduk, lalu aku bertanya; ‘Wahai Rasulullah, aku melihat mu solat sambil duduk. Apa menimpa mu? “ baginda menjawab; ‘lapar, wahai Abu Hurairah’”.

Dan beberapa peristiwa lagi dalam sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak kah anda terfikir alangkah berbezanya corak hidup kita hari ini dengan corak hidup Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat di zaman itu?

Ini semua tentunya bukan cerita tentang kedhaifan. Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mempunyai segala peluang untuk menjadi orang terkaya di zaman itu, sekiranya Nabi shallallahu ‘alahi wasallam memilih untuk menjadi kaya. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri sejak muda terkenal dengan bakat berniaganya, hingga tokoh korporat zaman itu, Khadijah, mengamanahkan peniagaannya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.

Para sahabat seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf adalah orang kaya yang banyak harta, dan sentiasa mahu menyumbang. Kemudian hasil rampasan perang pun, mengikut Jamilah al-Mashri, boleh memberikan kekayaan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sekiranya baginda mahu mengambil bahagiannya. Katanya “seandainya Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam mau mengumpulkan harta, nescaya baginda menjadi manusia terkaya. Seperlima harta rampasan dari perang Hunain saja sudah mencapai 8000 ekor kambing, 4800 unta, 8000 auns perak serta 1200 tawanan.”
 
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Umar Ibnul Khattab, katanya: Pada suatu hari saya masuk menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di rumahnya, baginda sedang berbaring di atas pasir. Baginda tidak menggunakan sebarang alas bagi mengalaskan antara tubuhnya dengan pasir. Kesan-kean pasir kelihatan jelas di bahagian rusuknya.

Begitulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam , bukan baginda tidak mampu. Kalau baginda mahu, bukan baginda tidak mampu mengadakan lantai yang beralas atau membina rumah yang besar dan mewah sekalipun. Baginda mampu mengadakan semua itu, kalaulah itu yang baginda pilih. Tetapi baginda tidak memilih yang itu.

Membaca sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berulang kali dari pelbagai sudut, kita bukan saja akan dapat merasai perbezaan corak hidup mereka yang ketara itu, tetapi juga bertambah yakin bahawa corak hidup yang kita jalani sekarang ini sudah jauh terpesong dari landasan yang di tunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. 
 
Dari sumber bacaan

** Tindakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak memilih kekayaan dunia menunjukkan betapa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mencintai ALLAH dan dunia akhirat.. inilah ibrah yang dapat ku simpulkan dari tulisan ini.. “Selawat serta salam keatas Nabi junjungan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam beserta keluarga dan sahabat baginda sekalian”. *(^__^)

Monday, 30 January 2012

Kelebihan dan Kemuliaan Rasulullah saw


“ Selawat dan salam keatas Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, juga keluarga dan sahabatnya sekalian”

Ibarat kata pepatah "tak kenal maka tak cinta" oleh itu apa kata kita kenali Nabi junjungan kita dengan lebih mendalam lagi semoga dapat menambahkan rasa cinta kita pada Nabi shallallahu 'alahi wasallam .
 
Dibawah ini ingin saya kongsikan pembacaan saya serba sedikit mengenai personaliti dan perwatakan Nabi junjungan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. 
 
Rupa paras dan bentuk fizikal.
  • Baginda memiliki rupa paras yang amat menawan dan kacak wajah yang bersih dan bercahaya sehingga sesiapa yang bertemu baginda buat kali pertamanya akan merasa kagum dan takut akan kehebatan wajah baginda. Tetapi apabila sudah lama mengenal baginda akan merasa amat sayang kepada baginda. Seperti yang pernah dikatakan oleh sayidina Ali bin Abu Talib berkata; “sesiapa yang baru melihat Rasulullah saw, akan timbul rasa takut kepada baginda kerana kehebatannya, tetapi apabila sudah lama bergaul dengan baginda akan merasa amat sayang kepada baginda”.
  • Baginda juga memiliki bentuk tubuh yang sempurna kejadiannya dan sebaik-baik kejadian manusia.
Tabiat, gerak laku dan kegemaran.
  • Sentiasa menjaga penampilan diri agar sentiasa rapi dan bersih.
  • Lemah lembut (bukan lembik) tetapi lemah lembut lelaki sejati.
  • Apabila berjalan cepat langkahnya.
  • Apabila bergembira, baginda senyum dengan sepenuh jiwa, ketawanya adalah senyum.
  • Memiliki air muka yang manis dan bersikap peramah.
  • Dalam bersahabat baginda amat setia dan menghormati sahabatnya.
  • Amat penyayang bukan hanya pada manusia tetapi juga pada binatang.
  • Kalau berjalan mata baginda selalu tunduk ke bumi dari kehadapan.
  • Bila berbicara baginda tidak memandang mata (tidak merenung biji mata)
  • Bila marah baginda tidak merungut atau merepek tapi baginda hanya memaling muka dan memberi pipi baginda kepada yang dimarah.
  • Bila berkata-kata jelas, terang dan tenang.
Kejiwaan baginda.
  • Tidak kebendaan.
  • Tidak suka bercakap banyak, baginda tidak suka bercakap kosong dan tak tentu isi.
  • Sangat pemalu, baginda tidak memandang perkara-perkara yang tidak baik, sifat malu baginda ini adalah sifat malu yang baik bukan yang negatif.
  • Sangat merendah diri seperti sabda baginda; “Janganlah kamu memuliakan aku seperti orang nasrani yang memuliakan Isa anak Maryam, aku hanyalah seorang hamba ALLAH, katakanlah hamba ALLAH dan Rasul-Nya”.
  • Suka bergurau.
Keagamaan baginda.
  • Sangat merendah diri
  • Kata-kata penuh berisi.
  • Elok pergaulannya
  • Sangat penyabar
  • Indah dalam pergaulan
  • Sangat menahan marah

Sumber bacaan; buku “Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad saw” [ oleh Tarikuddin bin Haji Hassan] ms 1540-1557.

** Alangkah bertuahnya mereka yang hidup di zaman Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, dan berjuang bersama baginda dalam menegakkan agama ALLAH SWT. “ Semoga ALLAH sentiasa mencurahkan rahmat kepada Rasulullah Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam beserta keluarga dan sahabatnya sekalian”. *(^__^)

Tuesday, 8 November 2011

Monoteisme Konsep yang mengEsa kan Tuhan


Sebelum turunnya kitab suci Al-Qur’an. Konsep mengesakan Tuhan dipanggil Monoteisme iaitu ‘Tuhan itu Satu’ (Laa ilaaha illallah). Konsep ini telah lama wujud di sebalik kepercayaan Paganisme di Yunani berabad tahun lalu,  dan konsep ini diyakini oleh beberapa ahli Falsafah Yunani yang terkemuka dan mereka ialah:


Xenophanes (570-480SM) 
 


Xenophanes berkata “ Tuhan itu hanya satu. Dia tidak serupa dengan manusia kerana Dia sempurna dan kesempurnaanNya adalah tunggal”.







Pythagoras (570-504SM)
 
Falsafahnya adalah berdasarkan ilmu matematik, dan dia pernah berkata “angka satu adalah angka yang paling sempurna, sedangkan angka sifar bererti kosong. Satu adalah lambang yang ada dan sempurna, kosong adalah kiasan kepada yang tiada, dan yang ada itu sentiasa ada kelebihannya berbanding dengan yang tiada”. Falsafah Pythagoras menafikan kepercayaan ateisme, vrijdenker. Politeisme dan menetapkan kedudukan monoteisme ataupun tauhid.


Socrates (470-399SM)
 Meyakini adanya Tuhan dengan mengamati keseimbangan alam ini. Socrates berkata “adanya keseimbangan alam dan pada peristiwa-peristiwa yang terjadi dalam alam menunjukkan ada yang mengaturnya iaitu Tuhan yang Maha Pemurah. Socrates juga m enyarankan manusia untuk mentaati perintah agama yang betul dan tidak menyembah berhala ataupun menyekutukan Tuhan. Socrates juga meyakini hari akhirat kerana dia menyakini bahawa roh akan kekal. Ini terbukti pada saat dia diberitahu akan dibunuh oleh raja, dia menjawab “ Socrates berada dalam kendi. Raja hanya dapat memecahkan kendi. Kendi boleh pecah, tetapi air akan mengalir dan terus mengalir hingga ia sampai ke samudera yang luas, maka kekallah ia di situ”. Kenyataan ini membawa maksud apabila manusia meninggal dunia, yang hancur hanya tubuhnya sedangkan rohnya akan kekal abadi.


Plato ( 427-346SM)

Murid kepada Socrates ini berkata “ Alam ini akan kembali kepada Yang Satu. Yang Satu itu tetap Dialah sumber dan tempat kembali segala sesuatu. Dan segala yang ada ini adalah tanda-tanda yang lahir, yang membuktikan kewujudan Yang Satu itu. Tuhan Yang Maha Esa itu adalah kebaikan semata-mata. Manusia hendaklah mengambil teladan daripada Tuhan. Dan menjadikan kebaikan sebagai tujuan hidupnya."





Aristotle (384-322SM)

Murid kepada Plato dan guru kepada Alexander The Great (Iskandar Zulqarnain). Aristotle meyakini adanya Tuhan. Hujahnya adalah "Alam yang ada ini ibarat benda yang bergerak. Bagi sesuatu yang bergerak, tentu ada yang menggerakkannya. Pastinya entiti yang menggerakkan itu adalah Tuhan. Dan Tuhan itu baik semata-mata."



Sumber bacaan :” Alexander adalah Zulqarnain” (Muhammad Alexander)




Para ahli falsafah ini hidup sebelum zaman Nabi Muhammad Shalallahu alaihi wassalam, dan ajaran mereka menerapkan konsep Monoteisme iaitu ‘Tuhan itu Satu’ (Laa ilaaha illallah). Ini membuktikan bahawa betapa pentingnya ilmu dalam menggerak dan memandu fikiran seseorang dalam menemukan kebenaran.

Tanpa ilmu manusia akan mudah terpengaruh dan mudah diperbodohkan oleh manusia-manusia yang ingin menyesatkan. Dan dalam situasi moden sekarang ini yang penuh dengan beraneka macam pemikiran dan pendapat bahkan pendapat-pendapat yang benar-benar menyimpang dari kebenaran telah banyak kita dengar atau baca, dan dalam menghadapi situasi-situasi ini kita perlu berfikir dengan lebih kritikal dan logik ‘critical and logical thingking’ sebelum membuat kesimpulan atau menyetujui sesuatu pendapat.

Cara terbaik adalah dengan menjadikan Al Qur’an sebagai rujukkan dan menjadikan ALLAH tempat mengadukan segala kekeliruan , memohon petunjuk dan perlidungan agar mampu menghalang diri dari terpesongnya akidah. Kerana sesungguhnya manusia itu lemah dan mudah terpesong tanpa adanya rahmat dari Yang Maha Esa.