Sunday, 5 February 2012

Nabi Yang Selalu Tiada Makan

Anda tentu pernah membaca cerita Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam yang dikisahkan selalu mengalami lapar, perut kosong kerana tidak makan, hingga ada waktunya terpaksa perutnya diikat dengan batu. Sukar hendak kita bayangkan bagaimana perut kosong yang perlu di bantu supaya tidak terasa terlalu pedih kelaparan, dengan mengikat ketul-ketul batu pada perut itu. 
 
Antaranya digambarkan sewaktu membuat persiapan Perang al-Azhab, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam turut bersama-sama dengan para sahabat, memerah keringat menggali parit untuk benteng pertahanan. “Baginda turut memunggah tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasai sakit, terasa pedih hingga ke pangkal hati”.“ Untuk mengurangkan kepedihan akibat rasa lapar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil beberapa ketul baru, kemudian dibalut dengan kain dan mengikat ketat pada perutnya. Baginda berbuat begitu selain untuk mengurangkan rasa lapar, juga untuk mengelakkan daripada kecederaan akibat berkerja berat dalam keadaan perut kosong”.[ Dalam buku Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam , Insan Teladan Sepanjang Zaman karya Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat,2008 Anbakri Publika]

Terdapat pula cerita yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Tabrani, bahawa pada suatu hari Fatimah r.a memberikan sekeping roti kepada ayahnya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi mengambil dan berkata; “Ini adalah makanan pertama yang dimakan ayah mu sejak 3 hari lalu”. [Dalam buku ‘Meraih Ampunan ALLAH’ karangan Jamilah al-Mashri, Jakarta 2004]

Bayangkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam 3 hari tak makan! Kemudian Abu Hurairah berkata, “Aku menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda sedang solat sambil duduk, lalu aku bertanya; ‘Wahai Rasulullah, aku melihat mu solat sambil duduk. Apa menimpa mu? “ baginda menjawab; ‘lapar, wahai Abu Hurairah’”.

Dan beberapa peristiwa lagi dalam sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak kah anda terfikir alangkah berbezanya corak hidup kita hari ini dengan corak hidup Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat di zaman itu?

Ini semua tentunya bukan cerita tentang kedhaifan. Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mempunyai segala peluang untuk menjadi orang terkaya di zaman itu, sekiranya Nabi shallallahu ‘alahi wasallam memilih untuk menjadi kaya. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri sejak muda terkenal dengan bakat berniaganya, hingga tokoh korporat zaman itu, Khadijah, mengamanahkan peniagaannya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.

Para sahabat seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf adalah orang kaya yang banyak harta, dan sentiasa mahu menyumbang. Kemudian hasil rampasan perang pun, mengikut Jamilah al-Mashri, boleh memberikan kekayaan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sekiranya baginda mahu mengambil bahagiannya. Katanya “seandainya Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam mau mengumpulkan harta, nescaya baginda menjadi manusia terkaya. Seperlima harta rampasan dari perang Hunain saja sudah mencapai 8000 ekor kambing, 4800 unta, 8000 auns perak serta 1200 tawanan.”
 
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Umar Ibnul Khattab, katanya: Pada suatu hari saya masuk menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di rumahnya, baginda sedang berbaring di atas pasir. Baginda tidak menggunakan sebarang alas bagi mengalaskan antara tubuhnya dengan pasir. Kesan-kean pasir kelihatan jelas di bahagian rusuknya.

Begitulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam , bukan baginda tidak mampu. Kalau baginda mahu, bukan baginda tidak mampu mengadakan lantai yang beralas atau membina rumah yang besar dan mewah sekalipun. Baginda mampu mengadakan semua itu, kalaulah itu yang baginda pilih. Tetapi baginda tidak memilih yang itu.

Membaca sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berulang kali dari pelbagai sudut, kita bukan saja akan dapat merasai perbezaan corak hidup mereka yang ketara itu, tetapi juga bertambah yakin bahawa corak hidup yang kita jalani sekarang ini sudah jauh terpesong dari landasan yang di tunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. 
 
Dari sumber bacaan

** Tindakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak memilih kekayaan dunia menunjukkan betapa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mencintai ALLAH dan dunia akhirat.. inilah ibrah yang dapat ku simpulkan dari tulisan ini.. “Selawat serta salam keatas Nabi junjungan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam beserta keluarga dan sahabat baginda sekalian”. *(^__^)

No comments:

Post a Comment