Perasaan dengki adalah perasaan dimana seseorang itu tidak senang dengan kejayaan orang lain dan mengharapkan kejayaan itu hilang dari orang yang di dengki.
Sikap dengki tidak dapat dilihat dari mata kasar tetapi berakar umbi dalam hati seseorang dan merupakan penyakit hati yang amat berbahaya.
Sabda Rasulullah s.a.w;
“ Hasad itu memakan (membinasakan) segala kebajikan, sebagaimana api memakan (membakar) kayu api”.
[Hr Ibn Majah]
Melalui hadits ini kita dapat fahami bahawa, sifat pendengki ini tidak akan menjejaskan orang lain yang didengkinya tetapi akan menjejaskan diri si pendengki itu sendiri sehinggakan merosakkan amalan kebaikan yang pernah dilakukannya.
Firman ALLAH yang bermaksud ;
“ Apabila kamu mendapat kebaikan, nescaya mereka akan merasa kurang senang, tetapi apabila kamu mendapat kejelekan (kecelakaan) mereka pun akan merasa gembira ria kerananya”
[Surah Al-Imran Ayat 120]
ALLAH melarang kita dari bersifat dengki kerana membenci seseorang disebabkan oleh nikmat dan kesenangan yang dikurniai ALLAH terhadapnya, samalah seperti kita memarahi ALLAH, dan ketentuan-Nya atau qada’ dan qadar Nya,. Kerana ALLAH melebihkan nikmat setengah daripada hamba Nya.
Tetapi jikalau seseorang itu mengharapkan sesuatu nikmat yang sama seperti nikmat yang ada pada seseorang tetapi tidak mencita-citakannya daripada nikmat itu lenyap daripada orang itu dan tidak berperasaan benci jika orang itu memperolehi nikmat itu secara berterusan, maka hal ini adalah tidak haram hukumnya sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w;
“ Hasad dengki hanya ( dibolehkan) pada dua perkara sahaja; iaitu seorang lelaki yang dikurniakan ilmu pengetahuan berhubung dengan pengertian Al-Qur’an lalu dia mula menggunakan mengikut hukum-hukumnya iaitu menghalallkan sesuatu yang sedia halal dan mengharamkan sesuau yang haram, dan seorang lelaki yang dikurniakan oleh ALLAH harta yang banyak lalu membelanjakan untuk kerabatnya disamping dia melakukan perkara-perkara mentaati ALLAH, maka bercita-citalah seseorang untuk menjadi kedua-duanya.
[Hr Ibn Asakir]
Kesimpulannya , kita tidak boleh menyimpan rasa dendam dan dengki atas kejayaan orang lain lalu membenci mereka
Sabda Rasulullah s.a.w; “ Janganlah kamu bermusuh-musuhan dan janganlah kamu memutuskan hubungan silaturahim, dan janganlah kamu berhasad dengki tetapi jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba ALLAH yang bersaudara”.
[Hr Muslim]
Oleh itu bila melihat kejayaan seseorang jadikanlah ia sebagai satu contoh dan penggerak diri untuk berjaya seperti orang itu juga dan doakan lah yang baik-baik untuk mereka.
Rumusan dari Sumber bacaan : "Ke arah Keimanan" oleh Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz
No comments:
Post a Comment